Pameran Tamadun Islam ke Melaka
KHA, 16 JUN 2011 09:24 | BERNAMA | SURIA SALHA
Pameran Tamadun Islam yang menghimpunkan kira-kira 200 artifak
sejarah ketika zaman kegemilangan tamadun Islam seperti peralatan perang,
peralatan adat dan budaya dijangka menarik 10,000 orang pengunjung.
Eksekutif Penerangan Dynasty Event Sdn Bhd Ab Aziz Said berkata
Melaka merupakan destinasi ketiga pameran itu yang diadakan di Taman Rempah di
sini mulai hari ini sehingga 3 Julai.
"Satu lagi artifak kita pamerkan tanduk kerbau batu (fosil)
dari Indonesia dipercayai berusia 100,000 tahun dan pedang Laksamana Cheng Ho
ketika zaman kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, bakal menarik perhatian ramai
pengunjung pameran itu," katanya pada sidang media di Taman Rempah di
sini, hari ini.
Turut menarik tumpuan bakal pengunjung, peralatan perang ketika
zaman kegemilangan kerajaan Islam Othmaniah antaranya enam bilah pedang perang
dari kurun ke-15, baju berantai perang dan meriam perang Islam.
Beliau berkata kesemua artifak sejarah itu asli bukan replika dan
dibawa masuk dari Indonesia, Thailand, China serta Arab.
"Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk melihat sendiri
peralatan astronomi yang digunakan ketika zaman Islam dan juga Eropah seperti
penyukat hujan dan kitab astronomi," katanya.
Azhar berkata pameran itu bermatlamat memberikan ilmu dan
pengetahuan kepada pengunjung mengenai artifak sejarah dunia Islam di samping memberikan
pendedahan berkaitan bidang sains yang dipelopori oleh masyarakat Islam suatu
waktu dahulu.
Beliau berkata Kelantan bakal menjadi destinasi seterusnya pameran
itu dan sekiranya ada permintaan syarikat itu akan menganjurkan pameran
tersebut di seluruh negara.
Tiket masuk RM10 untuk dewasa, pelajar sekolah (beruniform) RM15,
kanak-kanak (antara 7 dan 12 tahun) RM5 dan kanak-kanak bawah enam tahun adalah
percuma.
Pameran itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam.
0 comments:
Post a Comment